Saturday, December 18, 2010

PERMATA GP - Hari Keluarga PERMATA 2010


CYBERJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata taska di tempat kerja perlu dilengkapi tenaga pengajar bertauliah bagi mengelak berlaku kemalangan melibatkan kanak-kanak.

Beliau yang juga Pengasas Permata berkata, ini kerana beliau berasa amat sedih dan dukacita apabila terbaca laporan mengenai kemalangan membabitkan kanak-kanak di taska atau di rumah pengasuh, seperti kes tercekik susu, tidak dilayan dengan baik dan sebagainya.

"Saya telah berbisik dengan Perdana Menteri bahawa perkara ini seharusnya diambil dengan serius.

"Saya berasa amat sedih apabila anak-anak yang ditinggalkan di taska atau di rumah pengasuh, tidak dilayan dengan baik, dan apabila anak demam atau tercekik susu, mereka tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya.

"Sebagai ibu, sudah tentu (saya) berasa sedih kerana bukan mudah untuk melahirkan anak, dan bagaimana susahnya pula mengandung, yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai alahan," katanya ketika merasmikan Hari Keluarga Permata Negara di Sekolah Seri Puteri di sini pada Sabtu.

Hari Keluarga Permata Negara yang bertemakan "Permata Grand Prix" itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, dengan menggabungkan ibu bapa, pendidik dan kanak-kanak.

Sehubungan itu, Rosmah berharap pihak yang berkenaan akan mengambil berat tentang keselamatan kanak-kanak.

Beliau turut menyeru ibu bapa dan pendidik agar melindungi kanak-kanak daripada sebarang gejala buruk di sekitar mereka.

"Sebagai ibu bapa dan pendidik, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan segala perlindungan kepada anak-anak kerana mereka belum matang untuk bertanggungjawab," katanya.

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana program Permata Negara telah dilaksanakan di hampir 600 pusat asuhan di seluruh negara dan membabitkan hampir 20,000 kanak-kanak di bawah usia empat tahun, yang berpeluang menerima manfaat daripada proses pembelajaran berkualiti dalam suasana kondusif.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapan di Seri Perdana, Putrajaya berkata penyertaan kanak-kanak dalam persatuan beruniform seperti Pandu Puteri pada usia muda, akan membantu mereka menjalin persahabatan di peringkat global.

"Anda telah menjadi duta mewakili negara sendiri pada usia muda. Mudah-mudahan anda akan terus membesar sebagai wanita berkaliber menerusi ilmu dan kemahiran yang dipelajari serta diperoleh, selain menyemai nilai-nilai murni dalam kepimpinan," katanya.

Terdahulu, Rosmah yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia menerima kunjungan peserta dan pegawai Cabaran Seratus Tahun Pandu Puteri Malaysia 2010.

Acara lima hari bertaraf antarabangsa itu dianjurkan di Kuala Lumpur sejak Rabu lepas sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan persatuan pandu puteri.

Seramai 100 peserta dari Malaysia, Sri Lanka, Maldives, Sudan dan Brunei mengambil bahagian dalam acara tersebut.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment