Sunday, December 27, 2009

Kursus Team-Building PERMATA di Wood Valley Village Sungai Congkak


Satu Kursus Team-Building PERMATA telah diadakan pada 24 hingga 27 Disember 2009 anjuran Bahagian PERMATA. Kursus ini bertujuan untuk menggalakkan aktiviti kecergasan demi menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Kursus ini telah disertai oleh semua staf Bahagian PERMATA dan para Ketua dan Penolong Pendidik di PAPN seluruh negara. Ianya telah dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian PERMATA, Puan Saidatu Akhma Hassan yang turut menyertai kursus tersebut.

Banyak pengalaman yang telah didapati oleh para peserta sebagai pengalaman dan pengetahuan yang dapat digunakan untuk memperbaiki diri sebagai individu dan penjawat awam yang berkhidmat untuk negara. Adalah menjadi harapan Bahagian PERMATA untuk menganjurkan kursus seumpamanya di masa akan datang.



 

Sunday, December 20, 2009

Karnival Iktiraf 2009

Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri telah menyertai pameran di Karnival Iktiraf 2009 yang diadakan pada 18 - 20 Disember 2009. Karnival tersebut dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan dianjurkan oleh FELDA Seranta, Jabatan Perdana Menteri di Padang Kawad, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Pameran tesebut bertujuan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai dan memberi penerangan tentang Program PERMATA Negara kepada para pelawat yang terdiri dari warga kota dan warga FELDA dari seluruh negara. Kira-kira 300 orang telah melawat gerai PERMATA pada hari pertama sahaja dan secara keseluruhan dianggarkan seribu orang telah melawat gerai PERMATA pada karnival tiga hari tersebut.




Thursday, December 10, 2009

Selamat Ulangtahun Kelahiran, Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor




Kami dari Bahagian PERMATA ingin mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran pada ibu kami, Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor untuk semua yang telah beliau lakukan demi meningkatkan martabat bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak di negara ini. Adalah menjadi harapan kami Datin Paduka Seri akan sentiasa ceria dan diberikan kekuatan untuk terus berbakti pada msayarakat dan negara melalui idea yang bernas serta komitmen yang tidak berbelah bagi demi meningkatkan kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara.

Nikmat rezeki kongsi-kongsikan
Nikmat budi balas-balaskan
Rahmat Ilahi syukur-syukurkan,
Y.A.Bhg Datin Paduka Seri Rosmah kita raikan.

Anak PERMATA ceria dan yakin
Menimba ilmu melalui permainan
Ibu PERMATA umpama lilin
Memberi sinar dalam kemalapan

Pusat PERMATA berkembang maju
Sentiasa bergerak menuju kemajuan
Semoga Allah membalas budimu
Ceria dan sentiasa dalam kegembiraan


Kami staf Bahagian PERMATA, dan juga Pendidik-pendidik PERMATA, ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan juga selamat menyambut ulangtahun kelahiran buat ibu PERMATA, Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Jasamu pasti tercatat di laman sejarah atas inspirasimu demi masa depan dan modal insan negara yang berkualiti dan luhur.

Ikhlas,

Staf Bahagian PERMATA dan Pendidik-pendidik PERMATA.

Wednesday, December 9, 2009

Ulangtahun Kelahiran Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor

Esok, 10 Disember adalah hari ulangtahun kelahiran Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.



Marilah kita semua sebagai warga Malaysia meraikannya!

Tuesday, November 17, 2009

Pelancaran Taska PERMATA PERKESO











Y.B. Senator Dato' Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia telah melancarkan Taska PERMATA PERKESO hari ini, dalam majlis yang bermula pukul 2 petang tadi di Dewan Persidangan Intan, Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Turut serta di majlis tersebut ialah Ketua Eksekutf PERKESO, Tn Haji Aleyes bin Meh dan Yang Di-Pertua Jawatankuasa Induk KESPO, Roshaimi Mat Rosely.




Monday, November 9, 2009

Pendaftaran Anak PERMATA di FELDA Besout





Pendaftaran Anak PERMATA di FELDA Besout telah diadadakan pada 9 November 2009 di Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) FELDA Besout, Trolak, Perak. Ibu bapa telah mengisi borang pendaftaran, menandatangani aku janji dan juga diberikan buku Garis Panduan Ibu Bapa untuk penerangan tentang pengoperasian PAPN. Pemeriksaan kesihatan anak turut diadakan oleh wakil dari Kementerian Kesihatan.

Bahagian PERMATA mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan wakil agensi-agensi kerajaan yang telah menghadiri dan menjayakan hari pendaftaran ini. Pengurus PAPN ialah Puan Yuziana Yusuf.

Sunday, November 8, 2009

Majlis Ramah Mesra Dato' Ramany Gurusamy dengan Ahli Komuniti Taman Permata, Dengkil





Satu Majlis Ramah Mesra Dato' Ramany Gurusamy yang merupakan ahli Majlis Penyelarasan Dasar PERMATA Negara dengan Ahli Komuniti Taman Permata, Dengkil telah diadakan di Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Dengkil pada 8 November 2009. Turut menghadiri majlis ialah Dr. Rokiah Talib yang juga ahli majlis PERMATA. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesefahaman ahli majlis PERMATA dengan Komuniti Taman Permata dan juga menerangkan serba sedikit tentang objektif dan pengoperasian PAPN. Ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dalam pembangunan modal insan negara.

Sekalung penghargaan dari Bahagian PERMATA kepada Y.Bhg. Dato' Ramany dan Dr. Rokiah atas kesudian mereka meluangkan masa untuk beramah mesra dengan Komuniti Taman Permata Dengkil, dan terima kasih juga buat Komuniti Taman Permata Dengkil.

Thursday, November 5, 2009

Pelancaran Taska Educare PERMATA di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)






Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah melancarkan Taska Educare PERMATA di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang merupakan taska PERMATA pertama di bawah peruntukan Pakej Rangsangan 1. Beliau telah melancarkan taska itu di sebuah majlis penyerahan cek bantuan pendidikan Badan Amal, Kebajikan dan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di kampus UIAM di Gombak pada pukul 3 petang tadi.

Sunday, November 1, 2009

Taklimat kepada Ibu Bapa di Taman Permata, Dengkil








Satu taklimat kepada ibu bapa telah diadakan di Balai Gerakan, Taman Permata, Dengkil bersempena pembukaan Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Dengkil yang dijangka akan beroperasi pada 16 November 2009. Pengurus projek ialah Puan Yuziana binti Yusuf . Taklimat disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam PERMATA, Noorariza Mohd Azahari. Permohonan anak kini sedang dibuka dan anda boleh muat turun borang permohonan di sini.

Terima kasih kepada Mr. Siva di Taman Permata di atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan majlis taklimat ini dan juga warga Taman Permata yang telah sudi hadir untuk mendengar taklimat dan menghantar borang penyertaan.

Tuesday, October 27, 2009

Taklimat kepada Ibu Bapa di PERMATA SUK Perak





Satu taklimat kepada ibu bapa telah diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 27 Oktober 2009, pukul 10 pagi bersempena pembukaan Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Pejabat SUK Perak yang dijangka akan beroperasi pada 16 November 2009. Pengurus projek ialah Puan Yuziana binti Yusuf . Taklimat disampaikan oleh Puan Azmaini Isa. Permohonan anak kini sedang dibuka dan anda boleh muat turun borang permohonan di sini.

Terima kasih kepada staf SUK Perak di atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan majlis taklimat ini.

Wednesday, October 14, 2009

Bahagian PERMATA di Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri






Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri turut menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri pada 14 Oktober 2009. Para kakitangan telah bekerjasama untuk menghias gerai PERMATA yang mengedarkan puding-puding istimewa antaranya puding laici, mangga, tembikai susu dan jagung. Terdapat juga puding istimewa seperti Puding PERMATA dan Puding Mawi yang mendapat sambutan hangat. Komitmen staf akhirnya berjaya kerana 700 bekas puding telah berjaya diedarkan dalam masa tidak sampai 15 minit.

Kakitangan Bahagian PERMATA merasa amat gembira di atas pengalaman ini sebagai secebis kenangan untuk dibawa bersama dalam menjalani kehidupan walaupun tidak memenangi sebarang hadiah dalam pertandingan gerai yang telah diadakan. Majlis ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Y.A.B Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tuesday, October 13, 2009

Latihan Kebakaran Balai Bomba Arau dengan PAPN Tambun Tulang

TARIKH: 13 OKTOBER 2009

TEMPAT: PUSAT ANAK PERMATA NEGARA,DEWAN SERBAGUNA

PERUMAHAN AWAM TAMBUN TULANG, 02600 ARAU,PERLIS.

TEL: 04-986 2677 FAX: 04-9862675

MASA : 9.00 PAGI – 11.OO PAGI


PENDAHULUAN

Pada 13 oktober 2009 telah diadakan latihan kebakaran daripada pihak bomba Arau. Seramai 6 orang anggota bomba telah datang ke PAPN Tambun Tulang untuk menjayakan aktiviti latihan kebakaran bersama anak-anak PAPN dan juga pendidik serta pembantu pusat. Seramai 23 orang kanak-kanak PAPN bersama 3 orang pendidik dan 1 orang pembantu pusat telah mengikuti aktiviti latihan kebakaran ini. Program latihan kebakaran ini mengambil masa lebih kurang 2 jam.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN.

Aktiviti yang dijalankan bersama pihak bomba ialah di mana pihak bomba menayangkan video serta rakaman berkaitan api dan kebakaran. Di samping itu turut diperdengarkan lagu-lagu yang berunsur teladan berkisar kebakaran kepada yang mengikuti aktiviti ini.

Selain daripada itu pihak bomba juga menunjukkan cara-cara untuk menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran kepada anak-anak PAPN. Antaranya ialah cara-cara berguling apabila baju mereka terbakar serta merangkak apabila keadaan PAPN dipenuhi asap yang tebal. Setiap kanak-kanak diberi peluang dan tunjuk ajar bagaimana cara yang betul ketika merangkak dan juga berguling.

Selain daripada itu guru-guru dan pembantu pusat juga diberikan pendedahan penggunaan pemadam api serta cara-cara menyelamatkan kanak-kanak ketika kebakaran ataupun kecemasan.

Pihak bomba juga telah menjadikan kanak-kanak di PAPN Tambun Tulang ini sebagai anak angkat pihak bomba di bawah program 3K. Selain memberikan info berkaitan keselamatan, kanak-kanak dan juga pendidik dibekalkan buku-buku yang dapat memberi manfaat. Antaranya bagi pendidik, dibekalkan buku bagaimana cara untuk menjaga keselamatan bangunan. Bagi kanak-kanak dibekalkan buku yang mengandungi pelbagai aspek seperti mewarna, huruf dan juga info berkaitan menjaga keselamatan.

Kanak-kanak juga diberi peluang untuk menaiki lori bomba. Ini adalah bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak akan keadaan di dalam lori bomba serta peralatan yang digunakan ketika memadam kebakaran.

PENUTUP

Dengan mengadakan Program keselamatan bersama Bomba Arau ini pihak PAPN terutamanya kanak-kanak dapat pengalaman sebenar mengenai fungsi dan juga peranan bomba. Disamping itu juga dapat memberikan kesedaran kepada kanak-kanak bahaya api yang kecil pada mulanya menjadi kawan boleh menjadi lawan.

Selain itu, ia juga dapat memberikan informasi yang terkini kepada pendidik disamping meningkatkan penguasaan dari aspek keselamatan. Harapan PAPN Tambun Tulang adalah diharapkan program ini akan ada kesinambungan lagi agar meningkatkan lagi mutu kerja dalam aspek keselamatan dan juga informasi berguna.