Tuesday, June 22, 2010

MESYUARAT PELAKSANAAN PEMERKASAAN PROGRAM PERMATA NEGARA 2010 BIL.2 / 2010


BAHAGIAN PERMATA, JABATAN PERDANA MENTERI





SIARAN MEDIA





MESYUARAT PELAKSANAAN PEMERKASAAN PROGRAM PERMATA NEGARA 2010 BIL.2 / 2010

26 JUN 2010

JAM 9.30 PAGI







KUALA LUMPUR, 26 Jun 2010 – Pada tahun 2009, Program PERMATA telah berjaya diperluaskan pelaksanaannya di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 1 (PRE 1) di mana sebanyak 427 buah TASKA telah pun mendapat faedah dari perluasan tersebut.

Sehubungan itu bagi tahun 2010, Program PERMATA dirancang untuk diperkasakan lagi  dengan memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara dengan kerjasama KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sarawak, TASKA Komuniti dan TASKA Tempat Kerja.

Pada tahun 2010, di bawah rancangan memperkasa program PERMATA sebuah Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) akan dibina di 3 parlimen di setiap negeri kecuali Terengganu dan Sarawak. Setakat Jun 2010, sebanyak 27 buah PAPN telah pun memulakan kerja pembinaan dan penaiktarafan. Ini termasuk cadangan pembinaan sebuah PAPN di kawasan parlimen Hulu Selangor sebagaimana yang dijanjikan oleh Y.A.Bhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.


Di samping itu, rancangan memperkasa Program PERMATA juga turut melibatkan pembinaan dan penaiktarafan sebanyak 70 buah Taska KEMAS, 27 buah Taska Perpaduan dan 8 buah Taska JKM Sarawak. Sehubungan itu juga, 20 buah TASKA Tempat Kerja/Komuniti pula akan diberikan bantuan pembinaan permainan luar manakala sebanyak 68 buah lagi akan diberi bantuan peralatan pembelajaran bagi melaksanakan kurikulum PERMATA. Oleh itu, secara keseluruhannya sebanyak 220 buah TASKA akan mendapat manfaat dari pemerkasaan Program PERMATA ini di seluruh negara.

Dalam pada itu, seramai 1200 orang pendidik juga dirancang untuk mendapatkan latihan Kursus Pendidik PERMATA, dan setakat Mei 2010, seramai 428 pendidik telah pun mengikuti latihan ini. 

Dengan pemerkasaan Program PERMATA ini, lebih ramai anak-anak dijangka akan mendapat peluang untuk diasah bakat dan minda mereka di bawah Program  Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA. Ini adalah satu permulaan terbaik bagi anak-anak ini untuk menjadikan mereka berjaya apabila dewasa kelak, sekali gus menyumbang kepada modal insan negara yang berkualiti untuk negara pada masa hadapan.


##