Wednesday, September 30, 2009

PERMATA Bagan Pinang di Port Dickson


Permata didik 18,000 kanak-kanak RM150j bagi program PERMATA



Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan, Ir. Dr. Roslan Md. Taha (kiri) memberi penerangan tentang model rumah Permata Negara kepada Rosmah Mansor, Mohamad Hasan, Shahrizat Abd. Jalil dan Raja Salbiah Tengku Nujumuddin di Bagan Pinang, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

PORT DICKSON 29 Sept. - Sebanyak 18,000 kanak-kanak di seluruh negara mendapat manfaat daripada perluasan program Pusat Anak Permata Negara (Permata) dengan penubuhan 478 pusat asuhan dan didikan awal itu sepanjang tahun ini.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, perluasan program tersebut adalah komitmen kerajaan yang memperuntukkan RM150 juta bagi meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata berkata, peruntukan tersebut termasuk untuk melatih 1,200 pendidik bagi melaksanakan Kurikulum Permata.
"Bagaimanapun, jumlah ini hanyalah 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 3.4 juta kanak-kanak di bawah umur empat tahun yang ada.

"Dengan itu kita berharap semoga komitmen kerajaan ini akan dipanjangkan kepada peruntukan 2010 agar kita dapat memperluaskan penggunaan Kurikulum Permata supaya lebih ramai kanak-kanak menikmati faedahnya," ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Pusat Anak Permata Negara Bagan Pinang di Taman Desa Pinang, Bagan Pinang di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan barisan Exco kerajaan negeri.

Rosmah menambah, sehingga kini kejayaan program Permata dapat meyakinkan kerajaan untuk memperluaskan program itu bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak di bawah umur empat tahun mendapat faedahnya.

Beliau pada masa yang sama mengingatkan ibu bapa supaya turut memberi sokongan agar langkah memberikan permulaan hidup yang terbaik kepada anak mereka dapat dimantapkan.
"Malang jika anak-anak hanya menerima didikan yang baik semasa di pusat ini sahaja tetapi tidak diteruskan semasa di rumah atau semasa mereka berada dalam lingkungan masyarakat. Jadi, mustahak jika ibu bapa turut memahami apa yang diajar di pusat ini," jelasnya.

Beliau pada masa yang sama turut berterima kasih kepada Majlis Daerah Port Dickson yang menyediakan tiga unit rumah teres di Taman Desa Pinang untuk dijadikan Pusat Anak Permata Negara Bagan Pinang.

"Kos yang dianggarkan untuk menaik taraf pusat ini adalah RM400,000. Insya-Allah, pusat ini akan mula beroperasi pada awal November ini setelah kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan telah memberikan komitmen bahawa kerja-kerja menaik taraf ini akan diselesaikan dalam jangka masa tiga minggu," katanya.

Majlis Ramah Mesra Y.A.Bhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bersama Komuniti Bagan Pinang





Tuesday, September 29, 2009

Pembinaan PAPN Baru

Terdapat 14 buah Pusat ANAK PERMATA Negara (PAPN) yang telah dibina di seluruh negara di 14 buah lokasi. Buat masa ini PERMATA Negara sedang melaksanakan pembinaan 10 buah PAPN baru menjelang akhir tahun 2009 iaitu:-

i) FELDA Chiku, Kelantan
ii) Jeli, Kelantan
iii) FELDA Raja Alias, Negeri Sembilan
iv) Kuala Ketil, Kedah
v) FELDA Kerteh, Terengganu
v) FELDA Tenggaroh, Johor
vi) Parit Guntong, Johor
vii) FELDA Trolak, Besaut, Perak
viii) Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan
ix) Dengkil Selangor
x) Presint 16, Putrajaya