Sunday, August 4, 2013

Perutusan Ucapan Aidilfitri Daripada Setiausaha Bahagian PERMATA

Seluruh Warga Kerja PERMATA mengucapkan Selamat Berpuasa & Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang melayari laman blog rasmi PERMATA. Maaf Zahir & Batin.

Kembang indah si bunga melor,
Rendang pohonnya jadi teduhan
Andai tak sampai tangan dihulur,
Dari jauh dipohon seribu kemaafan

Andai pertemuan tiada di hari mulia
Setidaknya masih dapat bicara
Setulus hati mengirim ucapan raya

Salam Aidil Fitri, mohon maaf jua


Syukur alhamdulillah sekali lagi kita umat Islam telah dilanjutkan usia dan telah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan. Bulan Ramadan baru kita lalui dan kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula. Saya mendoakan semoga semua akan bergembira menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga dan insan tersayang dalam suasana yang ceria dan gembira. Ambillah kesempatan juga untuk merayakannya dengan bermaaf-maafan sesama keluarga, sahabat handai dan rakan taulan. Kepada yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah sentiasa dalam apa juga keadaan.

Dikesempatan ini, saya serta keluarga saya memohon maaf, zahir dan batin, di atas apa juga kesilapan yang mungkin telah kami lakukan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri

KESELAMATAN PUSAT ANAK PERMATA NEGARA (PAPN) SEMASA CUTI HARI RAYA AIDILFITRI 2013


Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 8 dan 9 Ogos 2013 ini, berkemungkinan ramai Pendidik PERMATA akan mengambil kesempatan untuk bercuti rehat sepanjang minggu tersebut dan minggu berikutnya. Sehubungan itu, bagi memastikan PAPN sentiasa berada dalam keadaan sentiasa selamat dan dilindungi, langkah – langkah berikut perlu dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya.

  1. Semua Pendidik perlu bertanggungjawab terhadap persekitaran tempat tugasan masingmasing dan memastikan dalam keadaan baik dan selamat;
  2. Semua PAPN dipastikan ditutup dan dikunci dengan selamat;
  3. Semua aset alih dan dokumen penting hendaklah disimpan dan dikunci dalam cabinet besi berpalang mengikut arahan yang telah ditetapkan;
  4. Semua Pendidik perlu log off computer, suis dimatikan dan peranti mudah alih disimpan dengan selamat;
  5. Semua lampu, penyaman udara, peralatan elektrik dan elektronik, suis punca kuasa dan sebagainya yang tidak digunakan ditutup bagi mengurangkan risiko kebakaran;
  6. Melaporkan kepada Balai Polis atau Pondok Polis terdekat bagi memohon bantuan melaksanakan tugas rondaan dan pemantauan semasa tempoh bercuti.
Sila pastikan perkara 6 dipatuhi sebelum Ketua Pendidik bercuti bagi memastikan keselamatan PAPN sentiasa selamat dan terkawal.