Tuesday, October 27, 2009

Taklimat kepada Ibu Bapa di PERMATA SUK Perak





Satu taklimat kepada ibu bapa telah diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 27 Oktober 2009, pukul 10 pagi bersempena pembukaan Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Pejabat SUK Perak yang dijangka akan beroperasi pada 16 November 2009. Pengurus projek ialah Puan Yuziana binti Yusuf . Taklimat disampaikan oleh Puan Azmaini Isa. Permohonan anak kini sedang dibuka dan anda boleh muat turun borang permohonan di sini.

Terima kasih kepada staf SUK Perak di atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan majlis taklimat ini.

Wednesday, October 14, 2009

Bahagian PERMATA di Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri






Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri turut menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri pada 14 Oktober 2009. Para kakitangan telah bekerjasama untuk menghias gerai PERMATA yang mengedarkan puding-puding istimewa antaranya puding laici, mangga, tembikai susu dan jagung. Terdapat juga puding istimewa seperti Puding PERMATA dan Puding Mawi yang mendapat sambutan hangat. Komitmen staf akhirnya berjaya kerana 700 bekas puding telah berjaya diedarkan dalam masa tidak sampai 15 minit.

Kakitangan Bahagian PERMATA merasa amat gembira di atas pengalaman ini sebagai secebis kenangan untuk dibawa bersama dalam menjalani kehidupan walaupun tidak memenangi sebarang hadiah dalam pertandingan gerai yang telah diadakan. Majlis ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Y.A.B Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tuesday, October 13, 2009

Latihan Kebakaran Balai Bomba Arau dengan PAPN Tambun Tulang

TARIKH: 13 OKTOBER 2009

TEMPAT: PUSAT ANAK PERMATA NEGARA,DEWAN SERBAGUNA

PERUMAHAN AWAM TAMBUN TULANG, 02600 ARAU,PERLIS.

TEL: 04-986 2677 FAX: 04-9862675

MASA : 9.00 PAGI – 11.OO PAGI


PENDAHULUAN

Pada 13 oktober 2009 telah diadakan latihan kebakaran daripada pihak bomba Arau. Seramai 6 orang anggota bomba telah datang ke PAPN Tambun Tulang untuk menjayakan aktiviti latihan kebakaran bersama anak-anak PAPN dan juga pendidik serta pembantu pusat. Seramai 23 orang kanak-kanak PAPN bersama 3 orang pendidik dan 1 orang pembantu pusat telah mengikuti aktiviti latihan kebakaran ini. Program latihan kebakaran ini mengambil masa lebih kurang 2 jam.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN.

Aktiviti yang dijalankan bersama pihak bomba ialah di mana pihak bomba menayangkan video serta rakaman berkaitan api dan kebakaran. Di samping itu turut diperdengarkan lagu-lagu yang berunsur teladan berkisar kebakaran kepada yang mengikuti aktiviti ini.

Selain daripada itu pihak bomba juga menunjukkan cara-cara untuk menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran kepada anak-anak PAPN. Antaranya ialah cara-cara berguling apabila baju mereka terbakar serta merangkak apabila keadaan PAPN dipenuhi asap yang tebal. Setiap kanak-kanak diberi peluang dan tunjuk ajar bagaimana cara yang betul ketika merangkak dan juga berguling.

Selain daripada itu guru-guru dan pembantu pusat juga diberikan pendedahan penggunaan pemadam api serta cara-cara menyelamatkan kanak-kanak ketika kebakaran ataupun kecemasan.

Pihak bomba juga telah menjadikan kanak-kanak di PAPN Tambun Tulang ini sebagai anak angkat pihak bomba di bawah program 3K. Selain memberikan info berkaitan keselamatan, kanak-kanak dan juga pendidik dibekalkan buku-buku yang dapat memberi manfaat. Antaranya bagi pendidik, dibekalkan buku bagaimana cara untuk menjaga keselamatan bangunan. Bagi kanak-kanak dibekalkan buku yang mengandungi pelbagai aspek seperti mewarna, huruf dan juga info berkaitan menjaga keselamatan.

Kanak-kanak juga diberi peluang untuk menaiki lori bomba. Ini adalah bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak akan keadaan di dalam lori bomba serta peralatan yang digunakan ketika memadam kebakaran.

PENUTUP

Dengan mengadakan Program keselamatan bersama Bomba Arau ini pihak PAPN terutamanya kanak-kanak dapat pengalaman sebenar mengenai fungsi dan juga peranan bomba. Disamping itu juga dapat memberikan kesedaran kepada kanak-kanak bahaya api yang kecil pada mulanya menjadi kawan boleh menjadi lawan.

Selain itu, ia juga dapat memberikan informasi yang terkini kepada pendidik disamping meningkatkan penguasaan dari aspek keselamatan. Harapan PAPN Tambun Tulang adalah diharapkan program ini akan ada kesinambungan lagi agar meningkatkan lagi mutu kerja dalam aspek keselamatan dan juga informasi berguna.


Sunday, October 11, 2009

Taklimat kepada Ibu Bapa di PAPN Kuala Ketil, Kedah




Satu taklimat kepada ibu bapa telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai, Kuala Ketil pada 11 Oktober 2009. Pengurus projek ialah Encik Faiq bin Ramli. PAPN Kuala Ketil sedang dalam pembinaan dan dijangka akan dibuka pada awal bulan November 2009. Permohonan anak kini sedang dibuka dan anda boleh muat turun borang permohonan di sini.

Friday, October 9, 2009

Jamuan Hari Raya Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri





Satu majlis jamuan Aidilfitri serta sambutan hari ulangtahun kelahiran kakitangan Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri telah diadakan pada 9 Oktober 2009 di pejabat Bahagian PERMATA, Cyberjaya, Selangor. Ini adalah untuk meningkatkan ukkhuwah dan kemesraan di kalangan kakitangan untuk membangkitkan suasana kerja yang positif dan ceria terutamanya dalam menghadapi cabaran untuk melaksanakan program PERMATA.

Taklimat kepada Ibu Bapa di FELDA Raja Alias







Berikutan pembukaan PAPN FELDA Raja Alias, satu taklimat kepada ibu-bapa telah diadakan pada 9 Oktober 2009 bertempat di FELDA Raja Alias. Ibu bapa telah berkesempatan untuk memdapatkan maklumat tentang PERMATA secara umum serta mengisi dan menghantar borang pendaftaran anak ke PAPN Raja Alias. Pengurus Projek bagi FELDA Raja Alias ialah Encik Imrizal bin Abdul Aziz.



Tuesday, October 6, 2009

Taklimat kepada Ibu Bapa di PAPN FELDA Besaut, Perak





Satu taklimat kepada ibu-bapa tentang Program PERMATA telah dilaksanakan di FELDA Besaut, Perak pada 6 Oktober 2009. Taklimat telah diberikan oleh Puan Azmaini bt. Isa selaku Ketua Penolong Setiausaha Bahagian PERMATA dan telah dihadiri oleh lebih kurang 100 orang. Pengurus Projek ialah Puan Yuziana bt. Yusuff yang juga telah menguruskan taklimat ini. PAPN FELDA Besaut dijangka akan dibuka pada awal November2009. Pihak Bahagian PERMATA ingin merakamkan ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak FELDA Besaut atas kerjasama dan pertolongan yang diberi semasa taklimat ini dijalankan.