Thursday, March 4, 2010

Bahagian PERMATA di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Sri Satria

 
  
  
  
 
Satu majlis sambutan Maulidur Rasul Bersama Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah diadakan di Kediaman Sri Satria Presint 16 pada hari Khamis, 4 Mac 2010. Majlis ini bertujuan untuk menghayati kebesaran Rasulullah S.A.W dan memberi sedikit panduan kepada kaum wanita mengenai peranan wanita dalam pembangunan keluarga mengikut contoh keluarga Rasulullah S.A.W.

Majlis turut memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran oleh johan Qariah peringkat antarabangsa iaitu Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya, diikuti ceramah oleh Datuk Dr Fatma El Zahra.


Banyak ilmu yang telah didapati oleh staf wanita PERMATA melalui majlis ini yang turut meningkatkan silaturrahim sesama insan.

Saturday, February 13, 2010

Permata Kedua di Putrajaya Dibuka Bulan Depan

 
 

PUTRAJAYA: Berkonsepkan ‘rumah permainan’ yang ceria, Pusat Program Anak PERMATA Negara (PERMATA) yang akan dibuka di Presint 16, di sini, 1 Mac ini akan memberikan kemudahan kepada kakitangan kerajaan dan swasta terutama mereka yang berpendapatan rendah menghantar anak masing-masing sementara keluar bekerja.



Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata pusat yang dibina dengan kos hampir RM1 juta itu boleh menempatkan 40 kanak-kanak.




“Pusat ini yang kedua dibina di Putrajaya.  Kami bersyukur kerana pusat ini siap mengikut jadual bagi membolehkan kakitangan menghantar anak masing-masing ke pusat berkenaan.

“Projek yang dibina di kawasan seluas 0.3 hektar yang dibangunkan secara ‘design and build’ (reka dan bina) ini dimulakan 1 Jun tahun lalu dan siap sepenuhnya 31 Januari lalu.

Pembinaannya menumpukan kepada ciri keselamatan dan keselesaaan kanak-kanak untuk bermain.



“Apabila kita dapat mewujudkan suasana selesa dan ceria, ia dapat membantu perkembangan minda kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pusat Anak Permata Negara kepada wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Samsudin berkata, pembinaan pusat itu turut menekankan kepada aspek penting termasuk sistem pengudaraan, kecerian, berkonsepkan mesra alam dan berwarna warni untuk memastikan ia selamat digunakan.

Friday, February 5, 2010

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA DASAR PROGRAM PERMATA BIL 1/2010

BAHAGIAN PERMATA, JABATAN PERDANA MENTERI

SIARAN MEDIA

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA DASAR PROGRAM PERMATA BIL 1/2010
5 FEBRUARI  2010

JAM 3.00 PETANG

KEDIAMAN Y.A.B PERDANA MENTERI, TAMAN DUTA, LANGGAK DUTA

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2010 - Program PERMATA Negara telah pun berjaya diperluaskan ke hampir 427 buah taska di seluruh negara di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 1 (PRE 1) dan telah dapat memberi faedah kepada hampir 16,000 anak PERMATA terdiri daripada kanak-kanak luar bandar dan berpendapatan rendah yang berumur di bawah 4 tahun.

Untuk tahun 2010, bagi memperkasa Program PERMATA Negara sebanyak 3 buah Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) akan ditubuhkan di 3 kawasan Parlimen di setiap negeri kecuali di negeri Terengganu dan Sarawak. Pemerkasaan Program PERMATA juga akan melibatkan perluasan di 88 Taska KEMAS, 35 Taska JPNIN dan 58 Taska Tempat Kerja  juga Taska Komuniti.

Di samping itu, Program PERMATA juga akan meneruskan pelaksanaan program PERMATA Pintar, PERMATA Seni dan memperkenalkan program PERMATA Insan. Program-program ini telah dirancang secara komprehensif bagi mengenal pasti potensi kanak-kanak dari awal untuk dikembangkan secara optimum dalam bidang-bidang berkaitan. Dalam pada itu juga, Program PERKASA Remaja akan diperkenalkan untuk para remaja bagi membangunkan remaja positif dan menangani masalah sosial. Ini pada jangka panjang diharap akan dapat melahirkan  dan membina modal insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara
##

Friday, January 15, 2010

Kursus Pengenalan PERMATA untuk Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)


 


 
Satu Kursus Pengenalan PERMATA untuk Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diadakan di Hotel Residen, UNITEN, Bangi pada 11-15 Januari. Kursus ini dianjurkan oleh Bahagian PERMATA untuk memperkenalkan PERMATA kepada Jemaah Nazir KPM memandangkan PERMATA akan diambil alih oleh KPM pada tahun 2011.

Para peserta adalah terdiri dari pegawai-pegawai dari KPM dan juga Institut Perguruan (IPG). Antara penceramah yang terbabit ialah Y.Bhg Dr. Sali Zaliha Mustapha, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC).

Saturday, January 9, 2010

Mesyuarat Pemurnian Kurikulum PERMATA 2010

Satu mesyuarat yang melibatkan penyertaan Jurulatih dan Pensyarah PERMATA serta pegawai-pegawai dari Institut Perguruan (IPG) telah diadakan pada 8-9 Januari 2010 di Hotel Residen, UNITEN Bangi. Mesyuarat tersebut bertujuan untuk memurnikan dan memperbaiki kurikulum PERMATA sedia ada bagi menyediakan satu kurikulum yang lebih komprehensif dan holistik.



 


 

Sunday, December 27, 2009

Kursus Team-Building PERMATA di Wood Valley Village Sungai Congkak


Satu Kursus Team-Building PERMATA telah diadakan pada 24 hingga 27 Disember 2009 anjuran Bahagian PERMATA. Kursus ini bertujuan untuk menggalakkan aktiviti kecergasan demi menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Kursus ini telah disertai oleh semua staf Bahagian PERMATA dan para Ketua dan Penolong Pendidik di PAPN seluruh negara. Ianya telah dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian PERMATA, Puan Saidatu Akhma Hassan yang turut menyertai kursus tersebut.

Banyak pengalaman yang telah didapati oleh para peserta sebagai pengalaman dan pengetahuan yang dapat digunakan untuk memperbaiki diri sebagai individu dan penjawat awam yang berkhidmat untuk negara. Adalah menjadi harapan Bahagian PERMATA untuk menganjurkan kursus seumpamanya di masa akan datang.



 

Sunday, December 20, 2009

Karnival Iktiraf 2009

Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri telah menyertai pameran di Karnival Iktiraf 2009 yang diadakan pada 18 - 20 Disember 2009. Karnival tersebut dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan dianjurkan oleh FELDA Seranta, Jabatan Perdana Menteri di Padang Kawad, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Pameran tesebut bertujuan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai dan memberi penerangan tentang Program PERMATA Negara kepada para pelawat yang terdiri dari warga kota dan warga FELDA dari seluruh negara. Kira-kira 300 orang telah melawat gerai PERMATA pada hari pertama sahaja dan secara keseluruhan dianggarkan seribu orang telah melawat gerai PERMATA pada karnival tiga hari tersebut.